"Buat la Kage Bunshin No Jutsu"

Pabila terlalu banyak kerja perlu disiapkan dalam suatu masa tanpa kita sedari, kita pernah terdetik, mengapa masa ini terlalu pantas berjalan. Kita berasa masa yang ada seperti tidak mencukupi lalu kita meminta masa tambahan. Pernah atau tidak ada suatu saat terdetik di dalam hati kita adakah bisa kita mempunyai dua atau lebih diri kita di kala ini? Tidak kurang juga yang bertanya "Boleh tak aku nak belah dua tiga badan aku?". Kita berasa adalah lebih baik jika kita dapat berpecah kepada beberapa orang dan setiap dari mereka dapat menyelesaikan tugasan-tugasan kita yang masih terbengkalai.

Kebiasaan nya, persoalan ini pasti tercetus disaat kita mempunyai terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan atau kita perlu berada di beberapa tempat dalam suatu waktu. Dengan tuntutan kerja, tugasan sebagai pelajar dalam kuliah, urusan kehidupan seharian yang sememangnya sudah tersedia ada di depan mata di tambah lagi dengan penglibatan diri dengan organisasi tertentu yang sentiasa padat di dalam jadual aktiviti tahunan tidak dapat tidak pasti membuatkan seseorang itu berasa tidak menang tangan.

Dalam sebuah buku yang saya pinjam dari seorang sahabat: Mencari Hud Hud Yang Kini ada dikongsikan kata-kata seorang Imam Hassan Al Banna. Katanya "Tanggungjawab melebihi masa yang ada". Dan dari sini, timbul satu persoalan dalam diri ana; jika kita berjaya membuat diri kita pecah kepada dua tiga atau lebih, bagaimana dapat kita pastikan bahawa setiap dari pecahan diri kita itu tidak akan terdetik tentang persoalan yang sama. "Boleh tak aku nak belah dua tiga badan aku?". Kerana berdasarkan kata-kata Imam ini, satu perkara yang pasti adalah setiap dari kita memikul tanggungjawab. Bahkan tanggungjawab itu pula melebihi masa yang ada. Maka setiap pecahan kepada diri kita tadi, tidak dapat tidak pasti akan memikul suatu tanggungjawab juga. Oleh itu, mungkin setiap dari pecahan diri kita tadi juga akan meminta untuk berpecah kepada beberapa orang lagi.

Dan seseorang berkata kepada saya "Buat la Kage Bunshin No Jutsu".
Saya hanya jawab “Saya perlu pecah kepada berapa orang?”. Mmmm…
Atau sebenarnya jika kita boleh buat Kage Bunshin mungkin juga beban kerja kita akan semakin berkurang? Siapa tahu kan? Tapi sebelum tu, kita perlu berada di Konoha dulu lah! Haha!

NSD
Cheras
A180819
0120

Kage Bunshin No Jutsu

Nota Kaki:
Kage Bunshin No Jutsu adalah suatu tindakan untuk berpecah diri kepada beberapa orang. Kalau betul2 tak tau, pergi lah tengok Naruto.  

Comments